Nama beliau Hateem (tak pasti sangat spellingnya) dan saya temui beliau
di Chadni Chowk di Delhi. Kerjanya seorang penarik beca sahaja. Ada anak
4 orang dan tinggal di sebuah bilik sewa yang digambarkan olehnya
SEBESAR 2 buah beca.
Saya suka melihat ke bawah untuk buat diri rasa bersyukur. Dalam masa
yang sama, tak lupa perhati di atas supaya kita tak rasa macam hebat
sangat macam tak ada orang lain lebih hebat dari kita.
Saya berbual dengan Hateem hanya lebih kurang 5-10 minit sahaja. Sambil
saya belikan sebotol air Pepsi untuk beliau. Satu yang saya belajar dari
beliau ialah bagaimana beliau sangat positif dalam hidupnya. Lelaki ini
sentiasa senyum dan Bahasa Inggerisnya mampu difahami sedikit sebanyak.
Menariknya, anak sulong Hateem sedang dalam pengajian di universiti
dalam bidang kejuruteraan. Katanya, bilik sewanya tidak bertingkap dan
anak-anaknya belajar di ruang bumbung yang menjadi tempat menyidai
pakaian. Lagi terpukul, beliau mahu anaknya di universiti itu keluar dan
tidak bekerja dengan kerajaan ataupun dengan swasta tetapi menjadi ikon
dan guru kepada kanak-kanak gelandangan di sekitar Chadni Chowk. Lalu
saya tanyakan, bagaimana dengan kontrak biaya pengajian? Jika di
Malaysia, pasti ada kontrak pembiayaan yang mewajibkan graduan bekerja
dengan penaja mereka.
Jawapan beliau membuat saya terpukul...beliau biayai pengajian anaknya
sendiri. Beliau menabung dari anaknya kecil supaya anak-anaknya mampu
untuk jadi graduan yang tidak terikat. Buktinya, anaknya yang baru 2
tahun di Universiti kini menjadi idola dan memberi inspirasi kepada
rakan setinggan yang lain termasuk adik-adiknya. Selain itu, anaknya
juga masih mengekalkan pointer tertinggi untuk setiap semester.
Alasannya, malu jika tidak mampu membawa visi pengorbanan bapanya untuk
setiap rupees yang dibelanjakan.
Tiada rumah besar, tiada tv besar, tiada TV satelit, tiada pakaian mahal
dan tiada makanan mewah. Kebanyakannya dilabur kepada pendidikan.
Padanya, pendidikan adalah jalan keluar kemiskinan. Beliau sendiri tidak
berpeluang mendapat pendidikan dan beliau tidak mahu anaknya juga jadi
begitu.
BINGGO!!
PENDIDIKAN JALAN KELUAR KEMISKINAN bukannya subsidi ataupun BR1M (mohon
terasa). Perkara sama yang saya dan sahabat di RUmah Pengasih Warga Prihatin
buat, pendidikan diutamakan. Memang mewah anak-anak dengan ilmu
walaupun makan dan tempat tinggal hanya sekadarnya sahaja. 12 orang
anak-anak kami di Universiti juga dah ikrar nak balik semula ke Prihatin
untuk tabur jasa pada adik-adiknya pula dan membangunkan komuniti kecil
itu.
Beliau seorang penarik beca dengan bayaran sekitar 10-20 rupees untuk
setiap perjalanan. Dalam masa yang sama, beliau juga ringan tulang untuk
bekerja sebagai pemunggah barang sementara menunggu pelanggan. Dapatlah
sekitar 20-30 rupees setiap task. Di samping itu, beliau ikat kontrak
pergi dan balik hantar budak sekolah oleh keluarga berpendapatan
sederhana di sekitarnya. Bukan setakat ikat kontrak, beliau juga ikat
perut dan makan tidak lain hanya dari bekal yang dibawa dari rumah.
Dalam beca beliau ada minuman sejuk untuk dijual (itu yang saya beli
Pepsi dan beri beliau minum sekali). Bijak juga orang ini mencari ruang
rezeki dan tidak membazirkan masa.
Satu prinsip yang saya pelajari dari beliau ialah "Hidup untuk cari
penyelesaian bukan mencari alasan". Baik...saya dapat pelajaran yang
saya kutip dari tepi jalan. Ya, pelajaran tidak semestinya datang dari
mereka berstatus doktor atau professor. Ia boleh datang dari sekecil
kanak-kanak gelandangan di tepi jalan. Adakah kita sudi nak buka mulut
berbual dengan mereka?
Di sudut hati saya memikirkan, alangkah bertuahnya kita di Malaysia.
Walaupun tidaklah maju sangat (walaupun PM selalu cakap negara di
landasan yang betul untuk jadi negara maju), dan sebahagian
pemimpin-pemimpinnya juga ada yang ala-ala "Inspektor Shahab" punya
korup. Sedarlah rakanku, dunia di sebelah sana ada orang yang lebih
teruk tetapi sentiasa memikirkan penyelesaian dan bukan alasan. Kalau
kita tengok negara yang maju, mungkin kita rasa teraniaya tapi bila
tengok negara yang lagi teruk...mesti akan buat kita rasa bersyukur.
Kita ni, PTPTN pun kalau boleh taknak bayar semula, bila kerja nanti
pula lari-lari bayar cukai. Bila tak puas hati sahaja dengan pemerintah,
dialah orang pertama yang memperjuangkan nasib pembayar cukai (dia
sendiri pun tak bayar). Jika hari ini kita masih mampu bayar Astro Byond
punya bil sampai RM150, bayar UNIFI sampai 150, sewa rumah kondo sampai
beriban, bayar loan kereta sampai RM1000 dan boleh lagi hujung minggu
sekali sekala pergi Sunway Lagoon, rasanya anda hilang layak nak
mengeluh dan menuding jari pada orang lain. Fikirkan penyelesaian bukan
siapa nak disalahkan.
Kalau cerita ini tidak membuatkan anda (orang yang mengeluh kesah dengan
hidup) rasa malu, saya rasa anda tak ada kemaluan (kalau ada pun,
mungkin tak boleh pakai).
Sekian.
SAIFUL NANG
Coret Tertangguh dari India
* Share at your own risk (saya suka anda share)
** Antara sebab besar mengapa saya rencanakan kisah Hateem ini ialah
kerana praktis beliau seiring dengan apa yang dilakukan di Rumah
Pengasih Waarga Prihatin.
*** Contohi sikap menabung Kak Rosmah yang menabung dari kecil
kan??
credit to : SAIFUL NANG

No comments:
Post a Comment