Ibu bapa sering kecewa dan stress
menangani anak-anak yang terlalu aktif. “Anak saya terlalu aktif..tak boleh
duduk diam walau seminit..melompat sana, melompat sini. Nak tengok dia duduk
diam, hanya waktu dia tidur. Tidur pulak sekejap sahaja..Penatnya…saya tak
sempat tarik nafas dibuatnya” Begitulah agaknya keluhan ibu-ibu yang anak
mereka terlalu aktif. Sebenarnya anak yang aktif menunjukkan mereka sihat. Otak
mereka pantas berfikir untuk melakukan pelbagai aktiviti. Bayangkan jika anak
kita terbaring saja, tentu kita susah hati juga dibuatnya. Justeru
ibu-ibu..reframe minda kita untuk memandang situasi itu dari sudut yang positif
untuk mengurangkan stress. Tips berikut mungkin boleh membantu kita dalam
menangani anak-anak yang hiperaktif.
1) Tetapkan peraturan yang jelas
untuk kanak-kanak hiperaktif dan untuk seisi keluarga. Jika perlu, tulis
peraturan dan pampangkan di tempat yang boleh dilihat oleh semua ahli keluarga.
Jangan fleksibel kerana kanak-kanak hiperaktif benar-benar memerlukan peraturan
yang jelas dan menerima akibat apabila peraturan tersebut dilanggar. Beri
penerangan dari mata ke mata tentang peraturan dan minta mereka mengulangi
kembali apa yang kita katakan untuk memastikan mereka faham. Ini tidak bermakna
kita tidak boleh menawarkan pilihan untuk kanak-kanak hiperaktif, tetapi
tingkah laku yang tidak sopan seperti memukul , meludah atau mengejek patut
menerima akibat yang telah ditetap. Bermakna kanak-kanak hiperaktif tahu bahawa
mereka akan menghadapi hukuman sekiranya melanggar peraturan.
2) Rutin yang tetap boleh membantu
kanak-kanak, termasuk kanak-kanak hiperaktif. Kebanyakan kanak-kanak cenderung
untuk menghadapi kesukaran apabila tidak ada rutin yang tetap dan
konsisten. Jika kanak-kanak tahu bahawa waktu tidur adalah pada pukul 8:00
malam, maka secara semula jadi, itu akan menjadi tabiatnya. Sediakan rutin bagi
aktiviti-aktiviti yang lain untuk kanak-kanak hiperaktif, dan pastikan
aktiviti-aktiviti tersebut tidak lebih dari 30 minit kerana kanak-kanak hiperaktif
sukar untuk fokus untuk jangkamasa yang lama.
3) Gunakan masa lapang untuk membawa
anak-anak hiperaktif keluar bersiar-siar ke taman permainan, membaca buku
bersama-sama, atau sekadar bermain dan bergurau dengan mereka. Detik-detik
seperti ini boleh membantu terutamanya untuk menjalin hubungan yang mesra
dengan anak-anak hiperaktif. Anak-anak hiperaktif juga boleh dibenarkan bebas
melakukan aktiviti sendiri selagi tidak melanggar peraturan yang telah dibuat.
4) Kanak-kanak hiperaktif sangat
bertenaga, menyebabkan tumpuan mereka menjadi sukar. Salah satu cara untuk
membantu menangani tenaga tambahan ini adalah dengan memberi mereka banyak
peluang untuk melakukan aktiviti fizikal. Walaupun kita tidak sepatutnya
membiarkan anak sampai ke tahap terlalu letih , senaman adalah cara yang
bermanfaat untuk membantu memfokuskan tenaga berlebihan itu secara positif.
5) Oleh kerana tenaga kinetik
kanak-kanak hiperaktif agak tinggi, hukuman apabila melanggar peraturan tidak
harus dibuat dengan menyekat mereka bergerak kerana ni mungkin memburukkan lagi
keadaan. Menggunakan pengukuhan dan kata-kata perangsang yang positif mungkin
lebih berkesan untuk jangka masa panjang , walaupun ia mungkin mengambil
sedikit masa untuk melihat kesannya.
6) Dr Phil McGraw (psychologist)
berkata, disiplin yang terbaik adalah dengan memfokuskan pada tingkah laku
kanak-kanak yang positif. Kanak-kanak akan bertindak balas terhadap pujian, dan
lebih cenderung untuk mendapatkan perhatian dengan melakukan sesuatu yang baik,
jika kita memberi penghargaan setiap kali mereka berkelakuan baik. Kanak-kanak
hiperaktif sering mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka dengan cara yang
negatif , sama ada ibu bapa menjerit , membentak atau memukul disebabkan ibu
bapa melabelkan mereka sebagai “buas”
7) Kebanyakan pakar mengesyorkan
supaya mengelakkan daripada memberi terlebih rangsangan kepada kanak-kanak
hiperaktif . Elakkan mereka daripada banyak menonton TV, dan jangan benarkan
mereka menonton TV pada waktu malam. Bunyi TV yang kuat dan kadang-kadang
mengkhayalkan boleh merangsang kanak-kanak hiperaktif. Pilih satu atau dua
rancangan yang sesuai untuk mereka tonton. Kanak-kanak hiperaktif lebih mudah
belajar dengan melakukan aktiviti bukan dengan duduk menonton. Jadi, sediakan
banyak aktiviti yang memerlukan pergerakan untuk mereka.
8) Adalah penting untuk menyedari
bahawa kanak-kanak hiperaktif tidak selalu mempunyai kawalan seperti
kanak-kanak lain. Jangan menyalahkan mereka atas apa yang tidak mampu mereka
kawal. Sesetengah guru gemar mengatakan bahawa jika kanak-kanak boleh
berkelakuan baik sekali, mereka akan boleh berbuat demikian di lain kali tetapi
ini tidak tepat untuk kanak-kanak hiperaktif. Banyak faktor yang boleh
mempengaruhi keupayaan kanak-kanak hiperaktif untuk mempamerkan kawalan diri.
Kita perlu peka terhadap faktor-faktor luaran yang boleh membuatkan kawalan
diri menjadi lebih sukar, seperti ketegangan antara ibu dan bapa, kematian
haiwan kesayangan, tidak cukup tidur dan sebagainya. Kanak-kanak yang tidak
sihat sering buat perangai dan ini tidak terkecuali pada kanak-kanak hiperaktif
juga.
Dalam menangani anak-anak yang
hiperaktif, kita memerlukan kesabaran yang tinggi. Usah memberi label yang
negatif (seperti "buas") kepada mereka.


No comments:
Post a Comment