PERKARA paling menakutkan untuk
kita bayangkan ialah jika negara jatuh bankrap yang sudah pasti akan membawa
rakyat kepada suatu kehidupan yang memeritkan, terpaksa menganggur dan harga
barang melambung.
Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.
Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.
Menurut MRS, Malaysia mungkin
akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun akan datang jika polisi yang diamalkan
sekarang diteruskan dengan mengambil kira jumlah pembiayaan subsidi ditanggung
kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.
Subsidi boleh dimansuhkan jika
rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar. Malangnya, sebahagian besar
rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin. Golongan ini masih memerlukan
bantuan daripada kerajaan dalam bentuk subsidi untuk meneruskan kehidupan
kerana kos sara hidup tinggi, terutama mereka yang tinggal di bandar besar.
Kerajaan seharusnya bersedia
menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan di negara ini kepada nilai
munasabah supaya masyarakat boleh berkompromi sekiranya subsidi ditarik semula.
MRS ditubuhkan untuk mengkaji
langkah sesuai dalam merasionalisasikan pemberian subsidi agar kesan pemansuhan
atau pengurangannya tidaklah sehingga menjejaskan kehidupan rakyat disampaing
berupaya mengukuhkan ekonomi negara.
Langkah yang seperti ini sangat
penting untuk memastikan negara kekal berdaya saing sekali gus mewujudkan iklim
pelaburan yang telus dan mapan.
Mengikut cadangan makmal itu,
pemberian subsidi antara aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan.
Ia menimbulkan kesan ke atas
ekonomi Malaysia yang sedang membangun.
Pengumuman Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai bahana yang akan menimpa negara
dalam tempoh sembilan tahun akan datang jika negara masih mengekalkan subsidi
termasuk antara kesan jangka panjang yang dijangkakan jika polisi itu diteruskan.
Kalau benar disebabkan subsidi
negara boleh jatuh bankrap, rakyat sudah tentu rela ia dihapuskan. Ini kerana tiada rakyat yang
mahu negaranya bankrap sekali gus lebih teruk menjejaskan berbanding kehidupan
yang dilalui sekarang.
Bagaimanapun timbul persoalan
dalam isu tingkat pendapatan, apakah dengan apa yang diperolehi majoriti hari
ini, rakyat Malaysia mampu hidup selesa dalam keadaan kos hidup mencanak
sedangkan tangga gaji di takuk lama?
Usaha kerajaan melalui Model
Ekonomi Baharu (MBE) dilihat cuba menumpukan peningkatan pendapatan per kapita
rakyat menjelang 2020 dan mempertingkatkan pendapatan golongan berpendapatan
rendah serta sederhana rendah kepada 40 peratus sepanjang MBE dilaksanakan.
Bagaimanapun, apakah kadar
pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup
secara purata tahunan?
Jika kenaikan pendapatan per
kapita rakyat selari dengan penghapusan subsidi secara berperingkat oleh
kerajaan, mungkin ia tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat secara
keseluruhannya.
Bagaimana jika penghapusan
subsidi tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat? Apakah kerajaan boleh beri
jaminan jika subsidi dihapuskan, negara lebih kompetitif dan pendapatan rakyat
akan meningkat?
Atau adakah kerajaan perlu cari
jalan memastikan negara kompetitif dan pendapatan rakyat meningkat serta
kemudian baru hapuskan subsidi berperingkat?
Kenyataan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi media semalam, bahawa kerajaan sedang
mencari jalan melindungi dan mengurangkan kesan kenaikan kos hidup (dalam
konteks ayat beliau merujuk kepada kenaikan tol dan tarif elektrik) secara tidak langsung menjawab persoalan itu
bahawa kerajaan pada masa ini belum menemui sebarang mekanisme sesuai untuk
mengatasi masalah itu.
Atas sebab itulah, di sebalik
tindakan mengurangkan atau menghapuskan subsidi yang sebagaimana disebut
perdana menteri bahawa sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan, rakyat di
mana-mana juga menjerit dan membantah kerana berasa hidup semakin terhimpit.
Inilah yang meresahkan
sebahagian besar rakyat yang ber-pendapat kerajaan harus mencari langkah paling
sesuai untuk menangani masalah ekonomi sebagaimana yang dilakukan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada era kemelesetan ekonomi 1987 dan
1997, bukan dengan terus meletakkan beban kepada rakyat.
Lebih-lebih lagi isu
pembaziran, ketirisan, rasuah dan kecekapan masih menjadi isu pentadbiran
kerajaan. Sedangkan negara semaju Amerika
Syarikat (AS) pun masih memberi subsidi dalam pelbagai sektor industri dan
perkhidmatan sebagai mekanisme perlindungan industri negaranya.
Subsidi tanaman jagung,
kerajaan AS memberi sebanyak AS$73 billion sepanjang tempoh 2006 hingga 2009. Walaupun ia menyebabkan
barangan komoditi negara sedang membangun terjejas, tetapi dari segi
pertanggungjawaban AS terhadap industri dan rakyat, tidak boleh dipertikaikan.
Dalam konteks negara kita,
bolehkah kerajaan memberik statistik pulangan dari segi daya saing dan gandaan
yang bakal diperolehi daripada langkah penghapusan subsidi? Bolehkah kerajaan
mengunjurkan peningkatan pendapatan rakyat hasil tindakan ini?
Kalau kenaikan tepung tahun
depan sebanyak 20 sen dan tahun seterusnya 25 sen, maka sehingga 2015, harga
tepung akan meningkat kepada RM1.20 iaitu lebih 50 peratus kenaikan. Ini belum
dikira lain-lain barangkawalan. Apakah ini selaras dengan unjuran pendapatan per kapita rakyat
ditetapkan MBE bagi tempoh sama?
Kalau pendapatan kita tinggi,
secawan kopi berharga RM10 pun tidak menjadi masalah, satu kepala bufet RM100
pun tidak berbeban. Sama juga dengan harga minyak,
bagi yang mampu dan mempunyai kereta yang cukai jalannya RM2,000 atau RM10,000
pun tidak menjadi masalah jika minyak RM2.50 seliter.
Sejauh manakah MRS yang akan
dilaksanakan membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana?Sementara itu, Ketua Aktivis
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan
perlu menubuhkan jawatan kuasa yang serius dan komited memantau kenaikan harga
barangan untuk menyekat kenaikan harga.Katanya, bukan rakyat yang
patut berjimat cermat tetapi kerajaan harus mengurus perbelanjaan lebih
efektif.

No comments:
Post a Comment