Menemani anak-anak yang berusia
setahun bermain kadang-kadang boleh membuatkan kita kehairanan jika kita tidak
memahami perkembangan asas mereka. Anak-anak pada usia setahun suka menjatuhkan
barang yang dipegang. Setelah diambilkan, barang itu akan dijatuhkan semula dan
begitulah seterusnya sehingga kadang-kala kita merasa bosan kerana terpaksa
berulang kali mengambil barang tersebut.
Setiap anak kecil akan melalui fasa
ini walaupun mungkin pada usia yang berbeza dan jangka masa yang berbeza. Ada
anak yang melalui fasa ini dalam jangka waktu yang singkat, tetapi ada juga
anak yang melalui fasa ini dengan lebih lama. Yang wajar kita waspada ialah
pada usia setahun, kemampuan anak untuk menggenggam barang belum begitu baik.
Untuk melatihnya, berikan anak benda-benda yang tidak merbahaya dan tidak mudah
pecah.
Apakah sebenarnya yang anak-anak
rasakan ketika mereka menjatuhkan barang? Apakah yang menarik minat mereka
untuk melakukan perkara yang sama berulang kali sedangkan kita menjadi bosan
untuk melayan?
Pada usia ini keinginan mereka untuk
mengetahui tentang persekitaran adalah tinggi. Ketika anak-anak menjatuhkan
barang, mereka telah menemui satu fenomena yang menarik. Di antaranya ialah
deria pendengaran mereka akan mendengar bunyi benda yang jatuh. Deria penglihatan
mereka pula akan melihat benda yang bergerak dari atas ke bawah. Sementara
deria sentuhan mereka akan merasa benda yang dipegang ada di tangan dan
kemudian terlepas dari genggaman.
Disebabkan mereka melakukan ini
aktiviti berulang kali, kadang-kadang kita menjadi bosan untuk melayan. Bagi
kita yang tidak memahami asas perkembangan kanak-kanak pula akan menganggap
perbuatan ini sebagai satu aksi yang nakal lalu kita menghalang mereka daripada
melakukannya. Sebenarnya anak-anak belajar sesuatu daripada perbuatan tersebut.
Mereka melatih kemahiran menggunakan tangan dan jari. Mereka belajar
mengkoordinasikan gerakan tangan, jari dan mata di mana ini penting untuk
pembelajaran di tahap yang seterusnya.
Selain daripada itu, aksi
menjatuhkan barang ini dapat mengembangkan persepsi anak-anak tentang konsep
ruang. Di sinilah bermulanya anak mengenali tentang posisi atau kedudukan atas
dan bawah walaupun mereka masih belum mampu bercakap untuk memberitahu kita
yang mana satu atas dan yang mana satu bawah.
Anak-anak juga belajar tentang
hubungan di antara sebab dan akibat. Mereka belajar bahawa sesuatu yang
dilakukan dapat menyebabkan sesuatu kejadian yang menyenangkan seperti ‘bunyi’
benda jatuh, kelakuan ‘lucu’ ayah atau ibu ketika bongkok mengambil benda yang
dijatuhkan dan sebagainya. Oleh kerana aksi ini menyeronokkan, maka anak-anak
akan cenderung untuk melakukannya berulang-ulang.
Pertama kali menjatuhkan benda,
mungkin berlaku secara tidak sengaja. Namun setelah mendengar dan melihat
reaksi yang dihasilkan oleh benda yang terjatuh itu, anak merasa terhibur dan
kemudian mengulanginya. Selanjutnya tindakan menjatuhkan benda menjadi tindakan
yang sengaja dilakukan. Ini bermakna anak-anak sudah mampu mengembangkan daya
berfikir dan merancang melakukan sesuatu untuk tujuan tertentu. Dalam hal ini,
menjatuhkan benda untuk mendapatkan bunyi dan melihat benda bergerak.
Setiap tahap yang dilalui oleh
anak-anak akan ada manfaatnya walaupun di mata kita nampak perbuatan itu
seolah-olah perbuatan yang sia-sia. Sekali pun kita rasa bosan untuk melayan,
jangan sampai kita marahkan mereka kerana perbuatan tersebut. Malah lebih baik
jika kita bersama dengan anak-anak untuk menikmati detik-detik itu. Inilah
peluangnya untuk kita merangsang bagi memaksimakan potensi mereka. Apa yang
boleh kita bantu?
- berikan benda/mainan plastik atau yang selamat untuk dijatuhkan.
- berikan pelbagai jenis benda yang menghasilkan bunyi yang berlainan, dengan itu anak-anak akan belajar bahawa benda yang berlainan akan menghasilkan bunyi yang berlainan.
- ibu bapa digalakkan terlibat sama dalam aktiviti ini
dengan banyak bercakap dan beri penerangan walaupun ketika itu anak belum
boleh bercakap. Bercakap dan beri penerangan hendaklah dalam keadaan yang
ceria dan gembira…(“Ala..bola jatuh ke bawah..”)
- selain daripada mengajar konsep ruang, kita juga boleh
mengajar nama-nama benda yang dijatuhkan oleh anak-anak. Bila disebut
berulang-ulang kali, anak-anak akan dengan sendirinya dapat mengingat nama
benda tersebut. Apabila dia pandai bercakap, tentu dia akan menyebut nama
benda itu kelak.
- berikan banyak benda yang selamat untuk dijatuhkan.
Setelah habis semua, cara untuk menghentikan aktiviti tersebut adalah
dengan mengalihkan perhatiannya kepada aktiviti lain seperti memukul-mukul
tin kosong dan lain-lain. Elakkan daripada menghentikan aktiviti
menjatuhkan benda begitu saja tanpa ada aktiviti lain yang mengganti.
- ibu bapa juga boleh memberikan kembali bola yang
dicampakkan anak dengan menggolek. Walaupun anak belum mampu menggolek,
sekurang-kurangnya kita mengajarnya bahawa ada pelbagai aktiviti yang
boleh dibuat dengan sebiji bola.
- proses pembelajaran seharusnya tidak memberi tekanan
atau rangsangan yang berlebihan. Sekiranya ternampak tanda-tanda anak
keletihan, maka rangsangan hendaklah dihentikan.
Walaupun aktiviti menjatuhkan benda
ini banyak manfaatnya bagi anak yang masih kecil tetapi ibu bapa harus
berwaspada jika aksi ini masih lagi dominan selepas anak berusia 3 tahun
(kecuali bagi anak istimewa). Jika anak yang berusia lebih 3 tahun tapi masih
kerap melakukan aktiviti ini, ibu bapa harus meneliti apakah ia bertujuan untuk
melepaskan kemarahan atau mahukan perhatian. Jika demikian halnya, maka
sewajarnya ibu bapa segera mengatasinya. Ibu bapa perlu menenangkan anak dan
menunjukkan contoh teladan yang betul untuk meluahkan rasa marah. Tentu saja
bukan dengan melemparkan barang.

No comments:
Post a Comment