Alkisah seorang pelajar
yang sentiasa mendapat A, kemudian pada suatu hari mendapat satu huruf yang
tidak diduga di atas kertas periksa.. Tertera huruf B besar berwarna merah di
sebelah kanan kertas jawapannya. Anak muda bijak ini tidak mampu mengawal diri,
amat marah, kecewa dan luka. Marahnya ditujukan kepada guru yang memeriksa
kertas periksanya. Kerana terlalu marah tayar guru dipancitkan dan dicalar
keretanya. Nah persoalannya, bijak kah anak ini?
Bijak
yang tidak berapa bijak mungkin? Ya pastinya bijak dari segi IQ nya. Jika
tidak, tak mungkin deretan A itu menjadi biasa bagi dirinya. Tetapi malangnya
anak muda ini tidak bijak dalam satu lagi komponen yang amat penting bagi diri
seseorang yang bergelar manusia. Komponen itulah yng dinamakan dengan kemahiran
emosi atau Emotional Quotient (EQ).
Ya ramai remaja dan orang dewasa tidak memiliki, tidak juga diajar dan tidak
begitu ambil peduli dengan kemahiran emosi. Maka lahirlah generasi yang sering
resah, gelisah, sedih, kecewa, marah, berdendam dan sebagainya. Kemudiannya ini
akan melarat kepada perbuatan mencederakan diri seperti bunuh diri dan
mencederakan orang lain.
Di dalam zaman dan suasana
dimana faktor IQ dan A itu amat dititikberatkan ,seseolahnya itulah penentu
kejayaan individu, ironinya seorang yang memiliki IQ yang tinggi tidak
semestinya akan berjaya dalam hidup kerana menurut kajian, IQ hanya
mempengaruhi 6-20% keberhasilan manusia, sebaliknya 80% daripada kejayaan
seseorang ditentukan oleh EQ kita. Daniel Goleman berpendapat bahawa EQ adalah
kunci kejayaan kerana ianya membawa kita kepada penggunaan intelek dengan
sihat. Emosi itu dari hati, dan hati itu kunci dan raja. Elok hati eloklah
segalanya. Intelek itu dari akal, memberi rasional kepada pelbagai perkara
dalam kehidupan. Adakalanya akal kita berkata lain dan hati kita pula
membisikkan sesuatu yang berbeza. Adakalanya kita berkata pada diri ‘ok’ tetapi
perasaan dan air mata tetap keluar. IQ dan EQ iaitu intelek dan emosi akan
dicampuradukkan senantiasa sepanjang hidup kita.
Komponen EQ tidak dapat
kita ukur dengan kertas, pen dan tidak pula dapat kita berikan gred A, B, C
atau D mahupun F. Ngerinya jika difikirkan kalaulah sekiranya anda terpaksa
menduduki perperiksaan EQ bagaimana agaknya gred kita? Begini para pembaca. Secara
rambang dalam kepala cuba anda bertanya pada diri samada anda boleh:-
• memotivasikan diri
sendiri?
• Bangun dari kekecewaan?
• mengawal diri dan mood
dari terlalu marah, sedih dan kecewa?
• bijak mengawal stress
dan tekanan?
• merasa empati pada orang
lain ?
Emosi ini sesuatu yang
sangat kompleks. Emosi terdiri dari berbagai komponen berbeza yang saling
mempengaruhi sesama sendiri. Emosi mempengaruhi keadaan fizikal dan mental
seseorang. Bila kita sedih contohnya motivasi kita akan menurun, bila kita
gembira dopamine dan serotonin di dalam otak meningkat dan ini memberi kita
lebih motivasi untuk melakukan sesuatu.
Keperluan emosi meningkat
sewaktu kita di alam remaja. Berikan perhatian kepada emosi mu dan bukan hanya
kepada buku teks itu. Ibu bapa berbual lah mengenai emosi dan perasaan.
Bantulah anak-anak muda ini mengawal dan mengenali emosi diri. Ingat manusia
itu bukan hanya telinga, mulut dan hidungnya tetapi manusia itu terdiri dari
hati, akal, perasaan dan nafsunya.
Bagaimana kita menguruskan
emosi banyak bergantung kepada faktor persekitaran dan pembelajaran. Kita
melihat bagaimana orang dewasa di rumah kita contohnya ibu dan ayah kita
menguruskan emosi mereka. Kita banyak belajar dari sana. Tetapi sekiranya kita
sekarang sedar bahawa cara ibu dan ayah tidak berapa tepat dan baik, maka kita
perlu bangun dan mencari ilmu supaya kita lebih bijak mengenali diri dan
mengawal emosi. Ini amat penting dan akan menentukan kebahagian juga kejayaan
anda kelak di masa hadapan baik dalam kerjaya, perhubungan sesama manusia dan
keluarga. Kebanyakan kita dalam sibuk mengajar material dunia lupa kepada
pentingnya ilmu menguruskan emosi. Tetapi kata guru saya yang tercinta
“Wardina, sekiranya kita ini Mu’min, kita tak akan rasa terlau sedih, terlalu
kecewa, terlalu marah…” Dan ini hanya akan terjadi sekiranya kita dekat dengan
Al-Quran dan IKHLAS dalam apa yang kita lakukan. Ingat ya sedih tidak mengapa,
marah juga tidak mengapa tetapi seperti kata Aristotle :
“Semua
orang boleh marah-marah itu mudah. Tetapi untuk marah kepada orang yang betul,
dengan kadar yang betul, pada masa yang betul, kerana sebab yang betul dan
dengan cara yang betul-itu tidak mudah”
Para pembaca, mengawal
emosi bererti kita boleh mengawal perasaan ketika terjadinya perkara positif
DAN negatif pada diri. Itulah sabar. Dan sahabat baik kepada sabar adalah
syukur. Orang yang bersyukur akan pasti sabar dan mereka yang sabar itu
InsyaAllah adalah orang-orang yang selalu bersyukur dengan apa yang ada. Akhir
kata, mengawal emosi dan kecerdasan emosi atau kemahiran emosi tidak boleh
dipisahkan dengan satu lagi kemahiran yang sering dipandang sipi-sipi. Kerana
tiada kemahiran inilah masyarakat dan manusia lompang, rosak dan tenat
keadaannya. Kemahiran Spiritual yang Alhamdulillah telah memberikan saya sinar
baru dalam hidup.
Untuk menyimpulkan
perbincangan ini, secara ringkas kemahiran emosi menuntut kita untuk :
1. Mengenali emosi diri
sendiri -. Teringat kata-kata ini, “Siapa Kenal Diri Maka Dia Kenal Tuhan”
2. Mengurus emosi dengan baik
-Orang yang sering stress dan terlalu sedih tidak pandai mengurus emosinya.
(Jangan bimbang kita boleh belajar)
3. Memberi motivasi kepada
diri – Apabila kita jatuh kita perlu bangun kembali dan tidak berputus asa
4. Mengenali emosi dalam
diri orang lain – empati dan simpati dengan orang lain, tidak menyakiti orang
lain. Takutnya kerana zaman ini zaman fitnah manusia sudah tidak peduli lagi,
menyakiti orang lain menjadi biasa.
5. Mempunyai kemahiran dan
kepekaan sosial - seperti boleh mengawal dan mengekalkan perhubungan
"Emotional
Intelligence is a way of recognizing, understanding, and choosing how we think,
feel, and act. It shapes our interactions with others and our understanding of
ourselves. It defines how and what we learn; it allows us to set priorities; it
determines the majority of our daily actions. Research suggests it is
responsible for as much as 80% of the "success" in our lives."
--From Handle With Care: Emotional
Intelligence Activity Book



No comments:
Post a Comment