Dalam sehari berapa kali kita
menjerit kepada anak-anak. Nampak anak kita yang berusia 2 tahun memanjat
tangga, kita menjerit.. Nampak Along dan Angah melompat di atas sofa, kita
menjerit kemudian nampak si bongsu merangkak menuju ke bilik air, kita menjerit
lagi. Kadang-kadang tekak terasa perit tapi kita seakan tidak jemu-jemu
menjerit. Ada orang petua, kira dari 1 hingga 10 dan tarik nafas dalam-dalam
tapi apabila situasi terjadi, tindakan reflek seakan menguasai diri, kita tak
ada masa atau terlupa untuk mengira dan menarik nafas dalam-dalam. Sedar-sedar,
hanya jeritan yang keluar dari mulut.
Kita perlu melakukan sesuatu untuk
mengubah keadaan. Mungkin tips di bawah ini boleh membantu mengurangkan
kemarahan dan jeritan kita..
1. Buku-buku dan bengkel parenting
Kita menjerit kerana kita tiada ilmu
dan kemahiran untuk menangani kerenah anak-anak. Hanya "jeritan”,
satu-satu kemahiran yang kita ada. Justeru, cari ilmu dan kemahiran dalam
menangani tingkah laku anak-anak dengan banyak membaca buku berkaitan dengan
keibubapaan serta menyertai bengkel/seminar keibubapaan. Apabila kita telah ada
sedikit sebanyak ilmu dan kemahiran, kita akan lebih berkeyakinan untuk
berhadapan dengan anak-anak yang aktif dan ini akan mengurangkan ‘jeritan’.
2. Belajar untuk meminta maaf
daripada anak
Fikiran kita mungkin
berkata..”kenapa mesti saya meminta maaf, mereka yang buat perangai hingga
menyebabkan saya naik darah dan menjerit..” Kadang-kadang agak susah untuk kita
meminta maaf kerana kita menganggap anak-anak yang menaikkan kemarahan dan
menyebabkan kita meninggikan suara kepada mereka. Jadi sebelum melepaskan
kemarahan dan perlu meminta maaf, fikirlah banyak kali.
3. Kenali punca kemarahan/jeritan
Apabila kita sedar apa yang menjadi
punca kemarahan kita, mungkin kita boleh menghindarinya dari awal. Mungkin kita
lebih mudah naik darah apabila kita keletihan, maka cubalah untuk mendapatkan
rehat yang cukup. Mungkin kelaparan juga boleh menjadikan kita naik darah, maka
makan dan minumlah mengikut waktu. Kadang-kadang perselisihan faham di antara
suami isteri juga boleh manjadi penyebab kita "cranky" sepanjang
hari, maka elakkan persengketaan dengan pasangan. Jika terjadi persengketaan,
cepat-cepat selesaikan supaya fikiran kita tenang.
4. Elakkan berfikir tentang sesuatu
yang serius ketika berada bersama anak-anak.
Anak-anak nampak kita sedang
menyediakan makan malam tetapi dalam fikiran, kita sedang memikirkan pelan
perniagaan atau kita sedang berfikir bagaimana untuk memujuk ibu mertua yang
merajuk. Apabila anak-anak bertanya..”mama, bila boleh makan, kami lapar”, apa
yang kita sedang fikirkan akan terganggu dan tentu akan menimbulkan kemarahan
dan jeritan..”tunggulah sekejap, mama tengah masak ni..tak tau sabar betul budak-budak
ni”. Ketika bersama anak-anak, fokus kepada mereka. Fikirkan sesuatu yang
serius apabila anak-anak telah tidur atau anak-anak tidak berada bersama kita.
5. Cipta satu mantra
Contoh mantra..”Anak-anak saya bukan
menjadi masalah kepada saya sebaliknya mereka menghadapi masalah”. Mantra yang
begini membantu kita untuk reframe situasi dan melihatnya dari sudut yang lebih
positif.
6. Banyak-banyakkan berdoa
supaya Tuhan mengurniakan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kerenah
anak-anak.
Menjadi ibu bapa yang tenang dan
aman damai bukanlah semata-mata belajar mengendalikan emosi kita sendiri tetapi
juga memupuk hubungan yang kukuh dan mesra dengan anak-anak.